Miri azam jadi kuasa sukan Sarawak

0

Majlis Sukan Bahagian Miri ditubuhkan bagi mengenal pasti jenis sukan yang boleh dimajukan

DATUK LEE KIM SHIN

MIRI: Miri berazam untuk menjadi kuasa sukan di Sarawak sejajar dengan infrastruktur yang ada di bahagian ini.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata bagi mencapai matlamat berkenaan, maka Majlis Sukan Bahagian Miri (MSBM) diwujudkan semula bagi mengenal pasti jenis sukan yang boleh dimajukan.

“Majlis itu akan dipengerusikan oleh residen dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bagi mengenal pasti jenis sukan yang berpotensi untuk dimajukan.

“Matlamat kita adalah untuk menjadikan Miri sebagai kuasa sukan untuk Sarawak,” jelas Lee selepas mempengerusikan mesyuarat MSBM di Pejabat Residen di sini semalam.

Menurut Lee, sukan berkenaan akan dibahagikan kepada tiga kategori dan akan mempunyai jawatankuasanya masing-masing. Kategori pertama ialah sukan yang berpencapaian tinggi dan akan diterajui oleh MSNS.

Bagi kategori pertama itu, majlis tersebut akan menfokuskan untuk mencari atletatlet yang berbakat besar yang dapat mewakili ke peringkat tertinggi seperti negeri ataupun kebangsaan.

Kategori kedua ialah sukan rekreasi sosial yang melibatkan acara sukan yang dianjurkan oleh masyarakat setempat sementara kategori ketiga pula ialah sukan pelancongan iaitu melibatkan penyertaan daripada masyarakat setempat juga para pelancong.

Sukan rekreasi sosial akan diketuai oleh KPSU Miri dan Jabatan Belia dan Sukan Miri sementara sukan pelancongan akan dikepalai Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Ujar Lee lanjut, sukan pelancongan yang dikenalpasti ketika ini adalah seperti pelayaran, pancing laut dalam, triatlon, motocross dan go-kart.

“MSBM turut mensasarkan untuk membantu Sarawak dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di mana Miri berharap akan menjadi salah satu venue bagi beberapa acara,” tambah beliau lagi.

Dalam majlis sama, Lee turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 kepada Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri.

Penyerahan cek berkenaan telah disampaikan oleh Lee kepada pengerusi persatuan tersebut, Harifen Mansur.

Hadir sama Timbalan Residen (Sosial) merangkap Timbalan Pengerusi MSBM, Imang Oyo dan Pegawai Daerah Miri, Boniface Intang Apat.