Kolej Abdillah adakan kem kepimpinan di Swinburne

0

KUCHING: Seramai 60 orang pelajar Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah (Kolej Abdillah) baru-baru ini berkumpul di Swinburne University Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) untuk menjalani kem latihan kepimpinan.

TAMAT LATIHAN: Para pelajar Kolej Abdillah bergambar kenangan bersama kakitangan Swinburne Sarawak.

Acara tiga hari dua malam khas untuk pengawas sekolah yang diselia oleh 15 guru sekolah tersebut, dijayakan dengan kerjasama pihak Swinburne Sarawak, yang bertindak menyediakan kemudahan untuk latihan berkenaan.

Ini memudahkan aktiviti-aktiviti untuk pelajar Tingkatan 2, 3 dan 5 dari kolej tersebut dijalankan dalam dewan serba guna universiti yang mampu menampung 1,000 orang serta di auditorium.

Peserta juga menikmati penempatan selama dua malam di asrama kampus yang dibina khas untuk 400 pelajar. Kemudahan asrama turut dilengkapi dengan internet, keperluan mesin basuh, tempat mandi dan dapur.

Pengetua Kolej Abdillah Johara Zain dalam amanatnya kepada para peserta mengucapkan penghargaan ke atas sokongan yang diberi pihak Siwnburne Sarawak.

“Kami berterima kasih kepada Swinburne Sarawak kerana menyediakan tempat yang sesuai bagi kami untuk menjalankan kem kepimpinan ini dan tempat tinggal para peserta,” kata beliau.

Beliau juga berharap kerjasama erat antara kedua-dua institusi tersebut akan berterusan pada masa hadapan.

“Kami menganggap ini sebagai satu projek komuniti yang sungguh bermakna jadi kami memberi sokongan sepenuhnya ke arah kejayaan program ini,” demikian menurut Penolong Pengurus Unit Pembangunan Bisnes dan Komunikasi Swinburne Sarawak, Alvin Chen.

“Kami menyokong mana-mana pihak yang memberi pendedahan positif ke arah pembangunan anak muda kita,” tambah beliau lagi.

Untuk manfaat para peserta, mereka telah diberi taklimat mengenai program-program yang ditawarkan, perkhidmatan-perkhidmatan sokongan serta pelbagai jenis bantuan kewangan yang disediakan di samping perkongsian pengalaman sebagai penuntut universiti oleh salah seorang pelajar tempatan kepada para peserta.