Sokongan padu penting bagi mengukuhkan jentera parti

0

SYUKUR: Sharifah Hasidah dan suami ditepung tawar sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan beliau dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

KUCHING: Sokongan padu dan kerjasama semua pihak amat penting dalam mengukuhkan jentera parti untuk menghadapi cabaran setiap pilihan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali berkata tanpa sokongan kuat ahli-ahli parti dan juga penduduk-penduduk kampung amatlah sukar untuk mencapai kemenangan.

“Saya amat berterima kasih atas sokongan semua pihak terutama sokongan padu penduduk-penduduk Kampung Sungai Bedil Besar dalam pilihan raya negeri lalu,” katanya berucap pada majlis kesyukuran meraikan kemenangan beliau di sini malam Ahad lalu.

Majlis itu dianjurkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Sungai Bedil Besar sebagai meraikan kejayaan besar Sharifah Hasidah pada pilihan raya negeri ke-10 baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua PBB Cawangan Samariang, Datuk Abang Abdul Khalid Abang Marzuki, Ketua Ranting PBB Kampung Sungai Bedil Besar, Ahmad Mansor dan suami Sharifah Hasidah iaitu Syed Mohammad Syed Hussein.

Sharifah Hasidah berkata kemenangan besar beliau adalah berkat kerjasama jentera kempen PBB, lebih-lebih lagi Ranting Kampung Sungai Bedil Besar yang telah bekerja keras memastikan pengundi di kampung berkenaan keluar mengundi dengan jumlah yang ramai.

“Saya yakin dengan jentera pilihan raya yang mantap, kita mampu mengekalkan kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Hasil daripada kejayaan itu, Kampung Sungai Bedil telah diberikan pengiktirafan apabila memperolehi 84 peratus pengundi kampung itu keluar mengundi di daerah mengundi, Kampung Lintang.

Justeru, kejayaan itu melayakkan ranting kampung itu menerima sebuah Piala Kemenangan (jumlah pengundi paling ramai keluar mengundi) serta hadiah wang tunai berjumlah RM2,000.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada penggerak jentera kempen pilihan raya PBB Kampung Sungai Bedil Besar telah hadir di majlis tersebut.

Majlis itu turut diserikan dengan ‘tepung tawar’ untuk Sharifah Hasidah dan suaminya sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan besar beliau itu.