29 qari dan qariah berentap di Kompleks Islam Sarawak

0

KUCHING: Dewan Kompleks Islam Sarawak yang baru siap sepenuhnya bakal menjadi venue untuk Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-54 yang berlangsung pada 13 hingga 17 Jun ini.

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, dewan tersebut boleh digunakan oleh orang ramai setelah selesai pertandingan tersebut.

“Seperti apa yang kita lihat, dewan ini begitu canggih sekali dan kita harap ini peluang yang terbaik untuk kita mempamerkan majlis ini sebaik-baiknya.

“Inilah pertama kali dewan ini digunakan dan Insya-Allah selepas ini ia boleh digunakan oleh orang ramai,” kata Daud.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media berhubung pertandingan tersebut, di Pejabat Majlis Islam, dekat sini, semalam.

Menurut Daud, majlis tersebut akan dihadiri dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Jun.

“Majlis perasmian yang diadakan pada 13 Jun akan disempurnakan oleh Perdana Menteri dan akan dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud).

“Manakala majlis penutupan pula akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 17 Jun,” jelas Daud.

Dalam pada itu, majlis tersebut yang akan berlangsung selama lima hari akan disertai oleh 29 qari dan qariah dari seluruh negara.

Untuk qari (lelaki) dewasa, penyertaan adalah 15 orang termasuk johan menung-gu manakala untuk qariah (wanita), penyertaan adalah seramai 14 orang termasuk johan menunggu.

Kesemua negeri termasuk Wilayah Persekutuan menghantar seorang qari dan seorang qariah untuk pertan-dingan tersebut kecuali negeri Kelantan.

Sarawak akan diwakili oleh Morshidi Mohd Salleh dan Roziah Ayup.

Menurut Daud lagi, hadiah yang bakal menungggu johan untuk kedua-dua kategori adalah RM15,000 untuk johan, RM7,000 untuk naib johan, RM5,000 untuk naib johan dan RM2,000 untuk hadiah sagu hati.

Johan bagi qari dan qariah juga akan mennerima hadiah berupa pakej menunaikan fardhu haji melalui pakej Tabung Haji.

Ditanya berkenaan peluang Sarawak untuk memenangi pertandingan ini, Daud berkata, beliau melihat qariah mempunyai peluang memandangkan kualiti yang semakin meningkat.

Sementera itu, ketika bercakap mengenai kompleks Islam Sarawak, beliau berkata, ia sudah 40 peratus siap dan bakal siap sepenuhnya pada Mei tahun hadapan.

“Dewan ini akan dirasmikan bersama dengan kompleks Islam apabila ia sudah siap kelak,” tambah Daud.

Turut hadir semalam adalah Setiausaha Kerajaan Nege-ri Sarawak Datuk Amar Morshidi Ghani dan Yang Dipertua Majlis Islam Datu Putit Matzen.