Tanah di Ulu Selukan/Senentang bukan milik penduduk Sungai Lengan

0

MENAFIKAN: Tuai Rumah Peter (tengah), Tuai Rumah Sulu (kanan) dan Dulah menunjukkan laporan polis yang telah dibuat oleh mereka bersama beberapa dokumen yang berkaitan dengan tanah di kawasan Ulu Selukan/Senentang, Mupong Bintangor yang menjadi pertikaian antara mereka dengan penduduk dari Sungai Lengan Sibu.

SARIKEI: Tindakan beberapa wakil penduduk kawasan Sungai Lengan, Sibu yang mendakwa kawasan tanah adat di Ulu Selukan/Senentang, Mupong Bintangor adalah milik mereka adalah tidak benar sama sekali.

Tuai Rumah Peter Minggat Langun berkata, pemilikan tanah terbabit sebenarnya tiada kena-mengena dengan mereka kerana tanah di kawasan terbabit adalah milik penduduk dari kawasan Sungai Mupong Ulin, Bintangor.

“Kenyataan yang dikeluarkan kepada Utusan Borneo pada 12 Ogos lepas menyatakan bahawa tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik mereka di kawasan Ulu Selukan/Senentang, Mupong Bintangor telah diceroboh oleh pihak tertentu untuk menjalankan beberapa projek dan semua itu adalah tidak benar kerana mereka tidak mempunyai sebarang hak ke atas tanah terbabit.

“Sehubungan itu untuk mengelak sebarang kekeliruan dan kesulitan berikutan masalah tersebut, penduduk rumah panjang saya dan Rumah Suku Liban, Sungai Mupong, Bintangor mengadakan mesyuarat beberapa hari yang lepas.

“Dan kami telah sebulat suara untuk melaporkan perkara terbabit kepada pihak polis demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Tujuannya adalah untuk menafikan bahawa tanah di kawasan terbabit yang asalnya sejak dari dahulu lagi adalah milik penduduk dari kawasan Sungai Mupong Ulin dan bukan penduduk dari kawasan Sungai Lengan Sibu seperti yang diperkatakan mereka dalam laporan polis yang telah dibuat di Balai Polis Pusat Sarikei pada awal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menemui pemberita di pejabat Utusan Borneo semalam, sambil menunjukkan keratan akhbar bersama laporan polis yang telah dibuat mereka di Balai Polis Bintangor, bagi menafikan dakwaan pemilikan tanah di kawasan Ulu Selukan/Senentang, Mupong Bintangor oleh penduduk dari Sungai Lengan Sibu.

Tambahnya, jika melihat kepada sejarah dan pemahaman daripada orang tua-tua dahulu, penduduk dari kawasan Sungai Lengan memang akan mengerjakan tanah di kawasan terbabit untuk bertanam padi dan semua itu adalah atas dasar meminjam dan bukan diberikan hak terus ke atas tanah di kawasan terbabit.

Turut hadir bersama Tuai Rumah Peter dalam membuat laporan polis dan membuat kenyataan kepada media sebagai penafian fakta daripada pihak mereka ialah Tuai Rumah Suku Liban dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mupong Ulu Bintangor Dulah Jeluing.