FAMA akan kuat kuasa sistem 3P

0

KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menguatkuasakan sistem 3P iaitu pembungkusan, pelabelan dan penggredanan ke atas komoditi sayur-sayuran dan buah-buahan yang dihasilkan di negeri ini mulai awal tahun depan.

Pengarah FAMA Negeri Paza Dan berkata di bawah sistem itu pengusaha tani terutama yang menanam sayur-sayuran dan buah-buahan mesti mengamalkan cara pembungkusan, pelabelan dan penggredan mengikut standard ditetapkan agensi itu.

Beliau memberitahu bahawa 3P juga akan membolehkan FAMA memantau penggunaan racun serangga berlebihan dalam penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan oleh pengusaha tani di negeri ini.

“Pengenalan 3P ini akan memudahkan kami mengesan punca atau dari mana sayur-sayuran atau buah-buahan jika ada orang mengalami keracunan selepas memakan sayur-sayuran atau buah-buahan tersebut.

“Maknanya setiap sayur atau buah dari sesebuah ladang mesti ada label yang mengandungi nama peladang, alamat ladang dan jenis komoditi pertanian yang dihasilkan,” jelasnya ketika ditemui pemberita pada majlis Anugerah Khas Amat Setia dan Setia 2011, Jasamu Dikenang dan Ramah-tamah Aidilfitri FAMA Sarawak, semalam.

Beliau menambah dengan adanya sistem 3P, ia akan dapat memudahkan lagi aktiviti pemasaran sayur-sayuran dan buah-buahan bermula dari ladang sehingga kepada pemborong, pengedar, peruncit, pengeksport dan akhir sekali pengguna.

Menurutnya peraturan itu telah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia dan ia terbukti berkesan dalam mengawal kualiti komoditi pertanian khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Paza bagaimanapun berkata disebabkan peraturan itu masih baru di Sarawak, FAMA akan menganjurkan beberapa siri program pendidikan dan kesedaran dalam bentuk seminar dan bengkel dengan melibatkan penyertaan pengusaha tani di seluruh Sarawak.

“Sebagai permulaan kami akan melaksanakan peraturan 3P bagi memberi kesedaran kepada peladang atau pekebun dan berharap akan mendapat kerjasama daripada semua pihak,” katanya.