Sindiket pecah rumah, curi tumpas

0

 

TUMPAS: ASP Roslan (empat kiri), Hairie (tiga kiri) bersama anggota JSJ menunjukkan beberapa barangan curi berjaya dirampas di sebuah rumah kedai Desa Pabahanan di IPD Limbang semalam.

LIMBANG: Penubuhan pasukan petugas khas bagi mendapatkan maklumat, selain melancarkan misi risikan bulan lalu berjaya membantu polis dalam melumpuhkan sindiket kes pecah rumah dan curi selepas penahanan dua suspek di bandar ini petang kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) ASP Roslan Leman berkata, pasukan petugas khas diketuai Inspektor Mohd Hairie Awang Akub dan dianggotai enam anggota lain berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi yang berlaku di sini.

Beliau menjelaskan hasil kerja keras pasukan petugas khas serta maklumat orang awam berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan barang-barang curi di sebuah rumah kedai di kawasan Desa Pabahanan selepas penahanan seorang lelaki dan wanita petang kelmarin.

“Polis percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi di daerah ini tahun ini dengan penangkapan seorang lelaki berusia 36 tahun dan perempuan, 17 tahun yang dipercayai teman wanita lelaki tersebut.

“Pelbagai barangan yang dipercayai hasil curi dirampas daripada mereka termasuk lima buah tv, dua alat pembesar suara, alat ketuhar, telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba pelbagai jenama, alat pendingin hawa, empat unit cakera video digital (DVD) dan beberapa barangan lain bernilai sekitar RM22,500,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Limbang semalam.

Roslan berkata dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang kelmarin, tujuh anggota diketuai Mohad Hairie dan enam anggota JSJ melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kedai di Desa Pabahanan yang didiami lelaki terbabit dan teman wanitanya.

“Semasa pemeriksaan kita menemui beberapa jenis barangan disyaki sebagai harta curi di dalam rumah terbabit dan polis terpaksa memecahkan salah satu pintu yang dipercayai tempat menyimpan sebahagian barangan curi itu,” katanya.

 

 

 

Penemuan barangan curi tersebut katanya hasil risikan, maklumat dan tangkapan tiga orang suspek sebelum ini yang mempunyai kaitan dengan kes curi dan pecah rumah sehingga membawa kepada penahanan kedua suspek berkenaan.

“Kedua-dua suspek kini masih ditahan untuk membantu siasatan kes-kes pecah rumah dan curi dan kita akan memohon menahan reman mereka petang ini (semalam),” jelasnya.

Roslan memberitahu hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki berkenaan merupakan ‘orang tengah’ yang menerima barangan curi sebelum dijual kepada pembeli di sini.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan barangan curi terbabit turut dijadikan pertukaran untuk membeli dadah jenis syabu berdasarkan rekod lampau suspek lelaki yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, manakala wanita terbabit juga mempunyai rekod jenayah juvana sebelum ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, orang ramai yang pernah membuat laporan mengenai kehilangan barangan sebelum ini digesa agar menghubungi talian 019-4848008 untuk proses pengecaman barangan ataupun menghubungi IPD Limbang.

Dalam kes berasingan, beliau turut memberitahu seorang wanita cuba untuk membunuh diri dengan meminum cecair peluntur pakaian selepas mengalami masalah keluarga di kawasan Ranggau di sini tengah hari kelmarin.

Mangsa berusia 22 tahun dan mempunyai seorang anak itu dipercayai tertekan sebelum minum cecair itu dan dikejarkan ke hospital oleh suami mangsa.

“Keadaan mangsa stabil dan masih dirawat di Hospital Limbang,” katanya.