Individu luar cuba buat sidang akhbar di lobi Parlimen dihalang

1

KUALA LUMPUR: Dua individu yang mendakwa mereka adalah wakil badan bukan kerajaan semalam cuba melanggar Peraturan Mesyuarat denganmenyertai satu sidang media diketuai seorang anggota Parlimen daripada DAP di lobi Parlimen, di sini.

Bagaimanapun, pegawai keselamatan Parlimen sempat menghalang tindakan mereka itu yang melanggar Peraturan Mesyuarat 93 dan 94 iaitu ruang sidang media di lobi Parlimen hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh anggota Parlimen dan bukannya pihak luar.

Sidang akhbar itu diadakan oleh anggota Parlimen Bakri daripada DAP, Er Teck Hwa pada kira-kira jam 11.15 pagi, bersama individu berkenaan, lelaki berusia 40-an dan wanita berumur 31 tahun, yang mendakwa mereka adalah wakil badan bukan kerajaan dari Pengerang, Johor.

Pada 8 Nov lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengisytiharkan ruang sidang akhbar di bangunan Parlimen adalah khas dan eksklusif untuk anggota Parlimen sahaja dan berkuat kuasa serta-merta.

Pandikar Amin berkata orang luar yang masuk ke Parlimen adalah dilarang daripada menggunakan fasiliti itu untuk membuat apa sahaja kenyataan atau sidang akhbar walaupun ditemani oleh anggota Parlimen Bebas, Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang.

Pegawai keselamatan menerangkan mengenai peraturan Dewan Rakyat yang tidak membenarkan orang luar mengadakan sidang media walaupun ditemani Anggota Parlimen dan mereka kemudiannya diminta meninggalkan kawasan sidang media tersebut.

Selepas campur tangan dan penerangan peraturan daripada pegawai tersebut selama kira-kira 10 minit, pasangan berkenaan kemudian beredar ke tepi kawasansidang media tetapi turut mengadakan sidang media berasingan walaupun mengenai isu sama. — Bernama