Masitah sokong cadangan naik taraf JAKIM

0

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Masitah Ibrahim bersetuju dengan resolusi Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2012 yang menggesa kerajaan menaik taraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebuah kementerian bagi menangani isu krisis akhlak.

Beliau berkata resolusi itu dicapai tepat pada masanya di mana JAKIM sepatutnya dinaik taraf menjadi sebuah kementerian memandangkan banyak isu krisis akhlak melanda masyarakat negara ini sejak kebelakangan ini.

“Apabila JAKIM menjadi kementerian, maka bidang kuasa Jakim akan diperluaskan lagi dan kita akan mempunyai ramai tenaga kerja bagi menjayakanmisi serta visi JAKIM yang sangat besar.

“Jika JAKIM hanya sebuah jabatan, bidang kuasanya tidak meluas kerana JAKIM hanya boleh membuat pemantauan bagi kesalahan berkaitan agama, manakalan kuasa mengambil tindakan adalah terletak pada Jabatan Agama Negeri,” katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Islam dan HIV/AIDS di sini.

Ditanya mengenai keberkesanan langkah tersebut, Masitah berkata ini merupakan jalan terbaik bagi memperkasakan JAKIM dalam menangani serta menyelesaikan isu krisis akhlak dan agama.

Mengulas mengenai Persidangan Antarabangsa Islam dan HIV/AIDS yang berakhir hari ini, Masitah berkata persidangan dua hari itu adalah manifestasi kecekalan, kerjasama dan kebijaksanaan pelbagai pihak bagi menghadapi cabaran jangkitan HIV/AIDS dewasa ini.

“Saya percaya persidangan ini telah menghasilkan resolusi yang jitu untuk diangkat kepada pihak berwajib bagi melaksanakan tindakan berdasarkan resolusi tersebut,” katanya.

Beliau berkata salah satu resolusi yang dicapai ialah memasukkan golongan pesakit HIV/AIDS ke dalam golongan yang layak menerima zakat (riqab asnaf) bagi membantu mereka dari segi kewangan.

“Golongan ini boleh diklasifikasikan sebagai golongan yang terdesak dan terancam oleh penyakit yang dihadapi di mana memerlukan pelbagai bantuan termasuk bantuan kewangan,” katanya.

Masitah berkata perkara itu akan disyorkan kepada agensi yang mengendalikan zakat dan berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi membela nasib pesakit HIV/AIDS.

“Dengan adanya bantuan ini, mereka boleh menggunakannya sebagai bantuan membiayai keperluan sara hidup serta keperluan lain,” katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara Islam di dunia yang mempunyai Manual Islam dan HIV/AIDS berlandaskan ajaran Islam yang kinimempunyai edisi dwibahasa dan bakal diterjemah ke dalam Bahasa Arab.

“Manual ini boleh didapati secara percuma di JAKIM dan boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya bukan sahaja rakyat negara ini malah kita telah mengedarkankepada peserta persidangan ini untuk dikongsi bersama mereka,” katanya. — Bernama