Satu calon satu kerusi disokong

0

Cadangan amat baik kerana calon tidak mungkin dapat berkhidmat di dua kawasan pada masa sama

SIBU: Bekas Ahli Majlis Parti Tindakan Demokratik (DAP) Dr Gregory Hii Sui Cheng menyokong penuh cadangan Presiden DAP Karpal Singh berhubung isu satu calon satu kerusi.

Hii berkata, cadangan tersebut amat baik kerana seorang calon yang dipilih tidak mungkin dapat berkhidmat di dua kawasan pada masa yang sama.

“Beliau akan dibebani pelbagai tanggungjawab yang berat, sekali gus menghalang beliau daripada memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat,” ujarnya.

Menurut Hii, rakyat pada hari ini menjangkakan yang lebih baik daripada wakil rakyat yang telah mereka pilih.

Dengan kerumitan untuk menjalankan dua tugas iaitu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen katanya, ia tidak boleh diterima sama sekali.

“Lebih teruk lagi ada sesetengah mereka ini terpaksa menguruskan perniagaan atau tugas-tugas lain, sekali gus tidak mempunyai masa untuk berkhidmat kepada rakyat,” jelasnya.

Namun ujar Hii, pengecualian mungkin boleh diberikan kepada kes-kes tertentu sekiranya calon terbabit merupakan seorang pemimpin parti tertentu.

“Ini kerana sebagai seorang pemimpin parti politik, beliau perlu mempunyai saluran untuk menyuarakan hal berkaitan parti dan menjadi satu kelebihan jika memiliki kedua-dua kerusi negeri dan Parlimen,” katanya.

Hii juga memberitahu, calon yang memegang dua kerusi harus menjadi seorang ahli politik sepenuh masa serta tidak terikat dengan apa-apa pekerjaan atau perniagaan.

“Ini perlu bagi memastikan calon terbabit mempunyai banyak masa untuk berpolitik serta berkhidmat kepada rakyat,” tambah beliau.