Rakyat bertuah tinggal di negara aman

1

SRI AMAN: Rakyat Malaysia sememangnya cukup bertuah dan beruntung kerana negara kita sentiasa aman, makmur dan bahagia, kata Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat.

Menurutnya bukan setakat itu sahaja rakyat berbilang kaum juga hidup dalam suasana harmoni, menghormati kaum-kaum lain dari segi agama, kebudayaan dan sebagainya.

“Oleh itu, tidak pernah timbul masalah rusuhan kaum seperti di beberapa negara di dunia, maka kita dapat melaksanakan agenda pembangunan sehingga negara kita maju dan berdaya saing dengan negara-negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lachau/Pantu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, Chung Hua, Pantu dekat sini semalam.

Katanya sebagai sebuah negara yang sedang membangun, kita menghadapi pelbagai masalah seperti masalah sosial dan sebagainya.

Misalnya, penghijrahan masyarakat dari luar bandar ke bandar untuk mencari kerja dan rezeki akan menimbulkan pelbagai masalah seperti perumahan, cara hidup baharu dan menghadapi kos sara hidup meningkat.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya gembira mempunyai sebuah masyarakat yang tidak mengira bangsa dan agama dan sikap penyayang, tolong-menolong, tidak mengira keturunan lebih-lebih lagi pada masa kecemasan seperti kebakaran, bencana banjir dan sebagainya.

“Saya melihat semua persatuan dan pertubuhan sememangnya sentiasa bersedia untuk menghulurkan segala bantuan apabila berlakunya bencana atau pertolongan diperlukan.

“Justeru, kita berharap sikap seperti ini dikekalkan supaya semua masyarakat akan hidup dalam keadaan aman dan damai.

“Saya juga yakin dengan perpaduan erat dan harmonis yang baik di kalangan rakyat berbilang kaum, politik yang stabil, dasar-dasar kerajaan baik, maka kita akan terus memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik agar mereka dapat menikmati kehidupan selesa,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad, Wakil Residen Bahagian Sri Aman Edward Michael Duk dan Pengarah JPJ Sarawak Ibrahim Othman.

Dalam pada itu, program berkenaan turut dimeriahkan dengan pertandingan bola sepak menggunakan kain pelikat tujuh sebelah antara kakitangan JPJ dan peserta SKSJ dan tarik tali.

Pada majlis sama, Masir turut menyampaikan replika Lesen ‘P’ kepada peserta lelaki dan wanita tertua iaitu Kulok Agal, 77, dan Fatimah Jolkipli, 59, serta pemberian topi keledar kepada peserta.