Kontraktor perlu atasi segera kerosakan kemudahan awam

0

TINJAU KEROSAKAN: Ling (dua kiri) ketika memeriksa kerja-kerja penyelenggaraan segera yang dilakukan oleh kakitangan LAKU.

MIRI: Kontraktor seharusnya bertanggungjawab terhadap kerosakan kemudahan awam seperti kabel telefon, paip air, kabel elektrik atau paip gas yang menjejaskan aktiviti harian pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling memberitahu, kontraktor perlu mempunyai prosedur yang teratur dan bertanggungjawab menyelenggara kemudahan awam agar tidak mempengaruhi aktiviti masyarakat setempat.

“Tanggungjawab kemudahan awam ini bukan hanya diletak pada pihak yang berkaitan, malah kontraktor turut memainkan peranan dalam memastikan kerosakan yang berlaku diambil tindakan segera,” ujar Ling.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke atas kerja-kerja terkini penyelenggaraan di Jalan Luak, lewat petang kelmarin.

Menurut Ling, gangguan bekalan air yang berlaku di Jalan Luak adalah disebabkan oleh pihak ketiga yang membina sistem perparitan konkrit dan bukan tanggungjawab sepenuhnya pihak LAKU Management Sdn Bhd.

Ling mengulas demikian berikutan gangguan bekalan air berkenaan menjejaskan aktiviti harian penduduk di kawasan Kampung luak, Winhouse Village, Grace Graden, Holiday Park, Shangrila Garden, Ocean Park dan sekitar Tukau serta Baram.

Katanya, masalah gangguan air tersebut terpaksa dilalui oleh penduduk berkenaan lebih daripada sehari dan kerja-kerja penyelenggaraan turut terjejas disebabkan kabel elektrik yang terdapat di sepanjang sambungan paip.

“Saya antara penduduk di kawasan yang terjejas, jadi saya faham kesusahan gangguan bekalan air dan situasi ini tidak harus berlaku lagi,” kata Ling.

Beliau turut kecewa dengan sikap kontraktor yang mengambil jalan mudah ketika berurusan dengan perkara berkaitan kemudahan awam.

“Ini bukan masalah kecil dan pengguna mengharapkan permohonan maaf daripada kontraktor dipertanggungjawabkan yang menyebabkan kerosakan kemudahan awam dan bukan hanya daripada pihak berkaitan yang memberikan khidmat kepada pengguna,” tambahnya.