BN boleh capai kemenangan 2/3

1

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) boleh mencapai kemenangan dua pertiga kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) jika semua komponen parti dapat mengetepikan masalah dalaman.

Keyakinan itu diperkukuhkan dengan kawasan majoriti Cina mula menunjukkan peningkatan dari segi sokongan terhadap BN, katanya.

Bagaimanapun, katanya, jentera-jentera BN tidak harus berpuas hati, sebaliknya perlu terus bekerja dengan lebih gigih sehingga kemenangan berada dalam genggaman.

“Bagi kawasan peratusan pengundi Cina tinggi, kita perlu (perkasakan) penglibatan dan ada tanda-tanda peningkatan tetapi kita perlu teruskan kerja sehingga 5 Mei nanti.

“Kita masih yakin mampu mencapai dua pertiga.

Tetapi kita tidak mahu jentera kita mengambil sikap berpuas hati kerana kita harus sedar pembangkang telah mengatur strategi untuk mencari jalan agar kita tidak mencapai dua pertiga.

“Jadi kita anggap ini ancaman besar, dan perlu mengetepikan masalah dalaman,” katanya pada sidang media disini semalam.

Hadir sama, calon BN Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng, calon BN Parlimen Bandar Kuching Tan Kai, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Najib yang juga Pengerusi BN turut menyeru semua ahli untuk terus mengetepikan masalah dalaman dan memfokuskan strategi bagi mencapai kemenangan pada PRU13 ini.

Secara keseluruhan, katanya, beliau berpuas hati kerana masalah yang timbul seperti dalam penentuan calon berjaya diselesaikan.

“Walaupun kita ada masalah dalaman, masalah dihadapi pembangkang lebih berat daripada dihadapi BN…

sekurang-kurangnya tidak ada komponen parti lawan komponen parti (pada PRU13),” katanya.

Najib turut memberitahu, beliau tidak nampak peluang bagi Pakatan Rakyat (PR) untuk menang di Sabah dan Sarawak berikutan sokongan terhadap BN masih utuh lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

“Masyarakat luar bandar sedar dan faham bahawa masa depan mereka adalah BN, sebab kita ada rekod baik dalam membangunkan kawasan luar bandar dan mereka tahu tanpa BN, apa yang mereka harapkan tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang cuba merampas kerusi Parlimen di kawasan luar bandar, Najib memberitahu, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan tetapi percaya BN terus mempertahankan kerusi-kerusi tersebut.

“Kita tidak rasa mereka mampu menang.

Saya pergi ke Lubok Antu tadi (semalam) dan ia merupakan kawasan Iban 90 peratus.

“Mereka (SWP) kurang ancaman berbanding PR, namun hakikat mereka meletakkan calon-calon mereka, mengurangkan sedikit peluang kita untuk menang,” katanya.

#myvote13 #ge13