Friday, September 25

Wanita nafi ugutan jenayah diikat jamin

0

MIRI: Mahkamah Majistret pagi semalam memerintahkan seorang wanita dibebas dengan ikat jamin RM2,000 berserta dua penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita warga emas.

Siti Selmiyah Osman, 27, dari Tudan Fasa 6 di sini telah dituduh melakukan ugutan terhadap Layha Madhi, 60, dengan mengeluarkan kata-kata: “Nanti aku mahu bunuh emak, bapa dan keluarga lain,” sambil memegang ‘test pen’ dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada warga emas terbabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 10 Mei lalu di kawasan letak kereta berhampiran Taman Selera di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 14 Jun depan untuk pengurusan kes dan 4 Julai depan ditetapkan untuk perbicaraan lanjut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mohamad Redza Azhar Rezali. Manakala tertuduh tidak diwakili.