Sunday, December 15

Pengedar ditahan, heroin dan syabu RM400 ribu dirampas

0

KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan polis ketika berada dalam kereta di hadapan rumahnya di Jengka 4, dekat Maran awal pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Thoon Kuan berkata, dalam serbuan jam 1.20 pagi itu, suspek, 36,  cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dengan anggota polis.

“Bagaimanapun suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan polis menemui dadah jenis syabu seberat 5.5 gram bernilai RM5,500 di tepi pintu pemandu dan heroin seberat 2.042 kilogram di but kereta bernilai RM408,200,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas kereta jenis Proton Wira dan sebuah telefon bimbit milik suspek.

Katanya, polis percaya dadah itu diperoleh dari negeri jiran dan untuk diedarkan di sekitar kawasan Jengka dan Maran.

“Siasatan mendapati suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk pernah dipenjarakan pada tahun 2000 hingga 2003 kerana terlibat dengan aktiviti dadah,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 26 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. — Bernama