Persaraan Mamat bakal dirindui penduduk Limbang

0

LIMBANG: Berkhidmat lebih 30 dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) banyak memberi kenangan pahit dan manis kepada Mamat Karim yang bersara baru-baru ini.

Beliau sebelum ini banyak mencurahkan bakti khususnya dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat melibatkan aktiviti memadam kebakaran dan menangani situasi kecemasan.

Justeru, tidak hairan Mamat bukan sahaja dikenali dan disenangi rakan sekerja malah dalam kalangan masyarakat setempat.

Kelibat beliau kerap dilihat sebagai seorang anggota bomba yang berdedikasi dan dalam aktiviti kemasyarakatan, kebajikan serta aktiviti yang dianjurkan JBPM.

Pastinya persaraan beliau akan membibitkan perasaan rindu penduduk di sini yang kerap melihat ketangkasan beliau dan rakan-rakan bomba lain ketika berlakunya kes kecemasan dan kebakaran.

Perasaan itu diakui sendiri Ketua Bomba Zon Limbang Anuar Shazat Merdzuki yang terharu dengan perkhidmatan, sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan Mamat terhadap JBPM dan masyarakat setempat.

“Semoga tempoh perkhidmatan Mamat menjadi satu kenangan manis dan  inspirasi untuk anggota terus berkhidmat dengan cemerlang walau di mana mereka berkhidmata,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Balai Bomba Limbang Awang Mohamad Farbu Abdul Hamid.

Anuar turut melahirkan perasaan terima kasih kepada Mamat atas sumbangan beliau selama ini.

Pada majlis sama Anuar turut meraikan kehadiran Ketua Balai Bomba Lawas yang baharu Mohamad Shamlie Radae.

Terdahulu Mohamad Shamlie berkata perkhidmatan awam kini mempunyai cabaran yang lebih hebat kerana orang awam dan sesiapa sahaja berurusan dengan JBPM kini lebih bijak dan mempunyai banyak maklumat.

“Penjawat awam dituntut menjadi cekap dan pantas melalui pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan dari semasa kesemasa termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP).

“Setiap anggota harus sentiasa memberi perkhidmatan cemerlang dalam JBPM,” katanya.