Sasar RM700,000 daripada Promosi Kraf Malaysia 2013

0

KUCHING: Perbadanan Kraftangan Cawangan Sarawak menyasarkan hasil jualan sebanyak RM700,000 daripada Promosi Kraf Malaysia 2013 yang akan diadakan pada 30 Ogos depan hingga 8 September akan datang.

Pengarahnya Sahaimi Abd Manaf berkata promosi tahun ini, yang bertema ‘Beli Barangan Malaysia’ akan melibatkan 70 usahawan kraf dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Promosi itu akan diadakan di Tebingan Kuching yang merupakan pusat tumpuan pengunjung.

“Saya mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pengunjung untuk meraikan promosi itu yang secara kebetulan dijalankan semasa sambutan Hari Kebangsaan sempena kemerdekaan negara ke-56,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata tahun lepas, Kraftangan Sarawak mencatat hasil jualan sebanyak RM600,000, yang melibatkan 85 usahawan dalam pelbagai bidang termasuk tekstil, hasil rimba dan tanah, logam serta aneka kraf.

Selain aktiviti jualan kraf dalam pelbagai bidang serta persembahan kesenian dan kebudayaan kepada pengunjung, demonstrasi kraf turut di adakan termasuk pembuatan sarung parang dan biola dari Sarawak, kraf kaca (Negeri Sembilan) dan paip (Pulau Pinang), katanya. — Bernama