Skuad wushu Sarawak cemerlang pada kejohanan kebangsaan

0

GAMIT TUMPUAN: Kelly Shu mempamer aksi memukau dalam acara nanquan taolu. Beliau menggondol emas dalam acara tersebut dengan catatan 9.52 mata.

KUCHING: Skuad wushu Sarawak melakar satu lagi kejayaan cemerlang apabila menduduki tempat keempat pada Kejohanan Wushu Kebangsaan Ke-24 yang berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 7 dan 8 September lepas.

Kontinjen seramai 17 peserta itu membawa pulang enam emas, tujuh perak dan tiga gangsa untuk berada di belakang Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.

Pada kejohanan selama dua hari itu, Sarawak turut muncul naib johan dalam acara taolu di belakang Negeri Sembilan.

Peserta SUKMA XV Kelly Shu Tuang Hong mempamerkan persembahan memberangsangkan untuk menggondol dua emas dalam acara nanquan dan nangun wanita.

Beliau turut menjadi peserta terbaik negeri pada kejohanan tersebut apabila menghadiahkan gangsa dalam acara nandao.

Atlet kebangsaan Gjeblehem Bong Teck Fuu pula menepati ramalan apabila meraih 9.57 dan 9.67 mata dalam acara nanquan dan nandao lelaki untuk menghadiahkan dua emas.

Manakala dua atlet remaja perempuan, Yong Arifah Khairul Kok dan Mandy Ling Xin Hui mencipta kejutan dengan turut menyumbang dua emas.

Arifah merekod 8.70 mata dalam acara taijiquan dan Ling memenangi kategori senjata tradisional dengan 8.66 mata.

Pemenang pingat perak pula Audrey Chan Yee Jo (taijijian wanita), Clement Ting Su Wei (gunshu lelaki), Liew Lik Kee (nandao dan nangun lelaki), Elvic Bong Qian Zheng (qiangshu lelaki), Clement Thian Fung Seng (daoshu lelaki) dan Amelia Su Leh Wern (daoshu perempuan).

Gangsa digondol oleh Amelia dalam acara changquan wanita manakala Clement Thian dalam acara gunshu lelaki.

“Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan prestasi skuad kerana berjaya memberi cabaran kepada negeri-negeri lain yang dibarisi ramai atlet kebangsaan. Meskipun kita hanya mempunyai Teck Fuu sebagai atlet kebangsaan, kesungguhan skuad pada kejohanan kali amat membanggakan,” jelas jurulatih Ling Ung Hee.

“Semua peserta kecuali Teck Fuu adalah atlet bayangan SUKMA XVII dan mereka telah membuktikan kemampuan pada kejohanan kebangsaan.

“Saya percaya, skuad ini bakal mencatat kejutan lebih besar di Perlis pada tahun hadapan jika mereka terus berlatih dengan berusngguhsungguh,” tambahnya.