Potensi belia dalam keusahawanan bantu tingkatkan ekonomi negeri

0

KUCHING:Kerajaan negeri melihat jauh potensi belia dalam bidang keusahawanan dalam membantu membangun serta meningkatkan struktur ekonomi Sarawak agar lebih mantap menjelang 2030.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata dengan itu semangat membudayakan bidang keusahawanan dilihat sama perlu seperti kerjaya profesional yang lain.

“Kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai projek untuk melibatkan usahawan muda seperti membina Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi mencapai visi tersebut.

“Kerajaan juga sentiasa menyokong perkembangan aktiviti keusahawanan melalui Kolej Komuniti tetapi para peserta dinasihatkan agar bijak mengambil peluang yang diberikan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Fiesta Keusahawanan Kolej Komuniti di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang menambah, budaya keusahawanan tidak memerlukan pendidikan yang begitu tinggi tetapi memerlukan sedikit kegigihan, ilmu kemahiran serta panduan dan kemahuan seseorang.

Justeru, pelbagai pinjaman telah disediakan oleh agensi kerajaan seperti TEKUN, MARA dan SEDC yang dilihat dapat membantu golongan belia menyertai bidang keusahawanan.

Pihak kerajaan melalui Kolej Komuniti juga katanya, menyediakan pelbagai kursus kemahiran dengan mengenakan harga yuran yang sangat rendah untuk semua golongan masyarakat.

Sebelum ini, pihak Komuniti Kolej Wilayah Sarawak mendapat penyertaan seramai 500 peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar Kolej-kolej Komuniti Mas Gading, Kuching, Miri, Santubong dan Betong.

Sebanyak 21 gerai telah didirikan dan diusahakan oleh para pelajar di Medan Niaga Satok pada 28 September lalu.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Pengajian Tinggi Malaysia Sarimah Hassan, Pengarah Kolej Komuniti Kuching Saidi Japari dan para pengarah daripada Kolej Komuniti di seluruh negeri.