Wednesday, August 12

Skrin besar aksi Sarawak-Pahang di Dataran Jubli Emas Limbang

0

LIMBANG: Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) menganjurkan tayangan perlawanan timbal balik Piala Malaysia 2013 antara Sarawak menentang Pahang kepada orang ramai menggunakan skrin besar di Dataran Jubli Emas, di sini pada malam Sabtu ini.

Pengerusi LFA, Dr Abdul Rahman Ismail memberitahu tayangan bermula jam 7.30 malam pastinya dinanti-nantikan oleh peminat sukan bola sepak di bahagian ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota bersama- sama orang ramai menonton perlawanan itu dan timbalannya, Alidin @ Brahim Tawar serta jawatankuasa tertinggi LFA.

“Selain tayangan skrin besar, LFA turut menganjurkan pelbagai aktiviti sampingan yang akan dimuktamadkan pada mesyuarat bersama LFA nanti,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Dr Abdul Rahman berkata, tayangan separuh akhir kedua Piala Malaysia membabitkan Sarawak dan Pahang melalui skrin besar itu salah satu usaha LFA mendekatkan peminat sukan bola sepak yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia.

Katanya, acara tersebut dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat melalui sukan.

Pada masa sama, peminat dan penyokong Sarawak yakin pasukan kesayangan mereka dapat bangkit sekurang-kurangnya dengan gol 2-0 untuk menempah tiket ke final Piala Malaysia nanti.

“Dengan semangat Ngap Sayop dan semangat perjuangan tinggi para pemain, kita yakin Sarawak akan berjuang habis-habisan menentang Pahang 26 Oktober ini,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Sarawak dan Pahang melalui skrin besar yang disiarkan secara percuma.

Program anjuran LFA itu mendapat kerjasama Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSN) Limbang dan Jabatan Penerangan Limbang.