Muhyiddin syukur permohonan maaf diterima keluarga Allahyarham Azizan

0

YAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur permohonan maafnya kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak atas kenyataannya yang didakwa PAS menghina bekas menteri besar Kedah itu, diterima baik oleh keluarga Azizan.

Muhyiddin berkata anak kelima Azizan, Mohd Rafi’ie, telah menghantar maklumat kepada Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir pagi semalam bahawa keluarga Allahyarham telah menerima permohonan maaf yang dibuat oleh beliau kelmarin.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional(BN) itu berkata Mukhriz telah memaklumkan kepadanya atas penerimaan maklumat tersebut melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Mohd Rafi’ie pagi semalam.

“Saya syukur kerana teks yang dikemukakan anakanda beliau (Azizan) menyatakan keluarganya telah terima mohon maaf saya,” katanya selepas menghadiri jamuan tengah hari bersama masyara-kat Cina kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Pusat Operasi BN di Sungai Limau Dalam, dekat sini, semalam.

Muhyiddin berharap isu itu dianggap selesai dan tidak lagi akan dibangkitkan.

Isnin lepas, PAS termasuk Dewan Pemudanya mendesak supaya Muhyiddin menarik balik kenyataannya yang didakwa mereka mengaitkan isu pemansuhan subsidi gula dengan penyakit kencing manis Azizan yang dididakwa telah menyinggung dan mengguris hati keluarga bekas menteri besar Kedah itu.

Berikutan itu, Muhyiddin kelmarin membuat permohonan maaf semasa lawatannya di Bukit Choras, namun menafikan kenyataannya mempunyai unsur penghinaan dan bertegas ianya diputarbelitkan, selain meminta pihak yang membuat tuduhan menyemak semula rakaman ucapannya             di SMK Sungai Limau, Sabtu lalu. — Bernama