Santuari buaya dirancang dekat KWNP

0

KUCHING: Santuari buaya dirancang diwujudkan di kawasan hutan paya bakau berhampiran Taman Negara Tanah Lembap Kuching (KWNP), kata Pengarah Hutan Sarawak Sapuan Ahmad.

Beliau berkata, pembangunan santuari itu penting untuk dijadikan sebagai produk ekopelancongan, pembelajaran, konservasi dan penyelidikan mengenai buaya.

Bagaimanapun menurutnya, rancangan itu perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri terlebih dahulu terutama dari segi konsep santuari.

“Kami memang merancang untuk wujudkan santuari buaya yang berkonsepkan Tembok Besar China.

“Santuari ini yang berperanan sebagai sarang buaya perlu diwujudkan sebagai tarikan terbaharu untuk produk ekopelancongan dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Tanah Lembap Peringkat Negeri 2014 di KWNP semalam.

Majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Kawasan berhampiran KWNP terutama Sungai Lemidin menurut Sapuan amat sesuai dijadikan santuari buaya kerana mempunyai banyak bilangan reptilia tersebut.

“Dalam perjalanan menggunakan bot ke sini (KWNP), kita dapat lihat banyak buaya terutama di tepi pantai.

“Kami mahu reptilia ini mempunyai tempat sesuai agar populasinya tidak pupus,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sapuan berkata, Jabatan Hutan Sarawak tahun ini menyasarkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Taman bagi melibatkan semua pihak berkepentingan dalam menentukan hala tuju pengurusan KWNP.

“Ia (penubuhan jawatankuasa) sangat penting untuk mengeratkan persefahaman antara pihak berkepentingan terutama penduduk kampung, agensi kerajaan dan pengusaha pelancongan,” jelasnya.

Beliau menambah, KWNP merupakan sebahagian daripada kawasan Hutan Simpan Bakau Sarawak yang pertama diwartakan iaitu pada 1924 dengan keluasan 6,610 hektar.

“Kawasan ini diwartakan sebagai Taman Negara pada 10 Oktober 2020 seterusnya mendapat status Tapak Ramsar pertama di Sarawak dan keenam di Malaysia,” kata Sapuan.