Beri ruang Sultan pilih MB baharu

0

Semua pihak digesa menghentikan sebarang spekulasi: Abdul Khalid

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta semua pihak supaya memberi ruang secukupnya kepada Sultan Selangor untuk memilih pengganti beliau sambil menggesa agar spekulasi berhubung perkara itu dihentikan.

Abdul Khalid berkata pihaknya percaya Sultan Sharafuddin Idris Shah pasti dapat membuat pilihan terbaik menerusi kebijaksanaan baginda demi kepentingan rakyat Selangor.

“Kita dinasihati supaya dapat beri ruang kepada Tuan-ku Sultan melalui pejabat Istana negeri melaksanakan perkara ini dengan tertib dan teratur.

“Kebijaksanaan dan kesabaran Sultan dalam me-milih calon selayaknya patut diberi kepercayaan dan kita berharap perkara ini dapat selesai dengan baik sambil mengutamakan kepentingan rakyat Selangor,” katanya selepas mesyuarat mingguan exco di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau menafikan khabar angin ada anggota Dewan Undangan Negeri bakal mengangkat sumpah jawatan menteri besar Selangor yang baharu pada Jumaat.

“Kalau adapun dilakukan, ia akan ikut proses-proses tertentu. Kebiasaannya tradisi Selangor akan ada jemputan bertulis daripada pihak Istana untuk jemput tetamu hadir menyaksikan upacara berkenaan.

“Saya minta semua dapat beri ruang dan masa (bagi menyelesaikan krisis kepimpinan di Selangor)…tak payah ada spekulasi tentang perkara ini,” tegas Abdul Khalid.

Mengulas kenyataan anggota Parlimen Klang Charles Santiago baru-baru ini yang mendakwa beliau tidak layak menandatangani perjanjian penstrukturan industri air Selangor kerana statusnya sebagai ‘menteri besar sementara’, Abdul Khalid berkata anggota Parlimen berkenaan tidak faham kedudukan sebenar.

Beliau berkata sebagai seorang profesional, Santiago seharusnya meneliti semula fakta berkaitan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang akhirnya akan memberi impak kepada komuniti.

Kelmarin, anggota Parlimen itu mempersoal kelaya-kan Abdul Khalid untuk menandatangani perjanjian penstrukturan air dengan kerajaan persekutuan berikutan jawatan menteri besar yang akan digantikan dengan individu lain.

Abdul Khalid dalam pada itu membayangkan perjanjian penstrukturan semula industri air berkenaan akan dimeterai minggu ini. — Bernama