Kerajaan Sarawak dan Sabah optimis ambil alih MASwings

0

KUCHING: Kerajaan Sa-rawak dan Sabah optimis mengambil alih MASwings demi memperbaiki jaringan udara dan meningkatkan perjalanan domestik ke kawasan pedalaman kedua-dua negeri ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan kedua-dua negeri telah menghantar permohonan dan sedang menunggu persetujuan daripada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Berhad untuk tujuan tersebut.

Menurutnya, pengambil-alihan ini membolehkan penstrukturan semula penerba-ngan semasa dilakukan sendiri oleh kedua-dua negeri.

“Saya ingin maklumkan bahawa kedua-dua negeri (Sarawak dan Sabah) telah bersetuju untuk bersama-sama mengambil alih syarikat penerbangan ini (MASwings) daripada pemegang saham utamanya Khazanah Nasional Berhad, 50-50.

“Pada masa kini kita masih menunggu keputusan daripada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Berhad dan sama-samalah kita berdoa agar ia berjaya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Media DUN di sini, semalam.

Terdahulu, beliau turut mengumumkan hasrat tersebut dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri juga telah memohon agar kadar pengangkutan udara tidak dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi penerbangan domestik.

“Kementerian melihat pelaksanaan GST bagi penerbangan domestik mendatangkan kemudaratan kepada sektor pelancongan kerana ia akan menjejaskan pergerakan masyarakat dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak dan sebaliknya.

“Oleh sebab itu, tiket penerbangan domestik sepatutnya sifar GST,” ujarnya sambil menyatakan bahawa kerajaan negeri telah menghantar permohonan kepada kerajaan persekutuan untuk mengecualikan GST daripada semua penerbangan domestik.