Perpecahan PR bukan kejutan, kata Abdullah

0

Hubungan parti-parti dalam PR bukan terjalin atas dasar membangunkan rakyat serta negara

Oleh Saibi Gi //

KUCHING: Terlerainya ikatan antara DAP dan PAS bukan satu kejutan memandangkan hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) itu bukan terjalin atas dasar membangunkan rakyat dan negara.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata, umum mengetahui tujuan utama penubuhan PR adalah untuk menjatuhkan kerajaan BN semata-mata.

“Falsafah serta persefahaman politik mereka rapuh, hipokrit dan nada mereka tidak pernah sebati.

“PAS pernah mengeluarkan ‘fatwa’ mengkafirkan pemimpin BN yang bersekongkol dengan MCA dan MIC tapi lepas itu PAS ‘berpelukan’ dengan DAP yang banyak mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan serta mempersenda Islam. PAS diam saja,” katanya diminta mengulas mengenai perkembangan tersebut semalam.

Menurutnya, DAP pula memang semula jadi kejadiannya semakin lama semakin sombong, kasar dan ‘kiasu’.

PKR pula, hanya sebuah parti yang ditubuhkan semata-mata kerana pemimpin mereka yang teringin sangat menjadi Perdana Menteri serta kecewa.

“Seorang pemimpin utama DAP pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pemimpin ulung PKR harus bertaubat tapi yang pelik DAP bersungguh-sungguh mempertahankan ‘persahabatan’ mereka dengan PKR.

“Itu politik gila kuasa yang keji dan bukan untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.

Jelas beliau, keretakan serta percanggahan falsafah politik dalam PR sudah lama berlaku – hanya menunggu masa untuk rebah dan terlerai.

Beliau menegaskan, cuma golongan yang taksub saja masih menghadapi masalah rabun atau buta untuk memahami perkara berkenaan.

Abdullah berkata lagi, kemenangan PAS di Kelantan adalah kerana majoriti masyarakat Islam di sana percaya dan yakin terhadap kepimpinan PAS. Bukan kerana pengaruh DAP atau PKR yang secara terang-terang menentang hudud.

Katanya, kemenangan kumpulan ulama dalam PAS dan tersingkirnya kumpulan yang dikuda DAP pada muktamar PAS baru-baru ini adalah bukti sentimen dalam PAS.

Manakala menurutnya, kemenangan PR di Pulau Pinang dan Selangor bukan kerana kekuatan mereka tetapi ada pemimpin BN yang lupa diri dan gagal menterjemah dengan betul kegelisahan serta kemarahan rakyat.

“Maka undi rakyat di Pulau Pinang dan Selangor adalah bukti ‘defisit kepercayaan’ ini wujud dan harus dibaiki.

“Setelah Pakatan mengambil alih Selangor dan Pulau Pinang, saya yakin masa akan menentu dan rakyat akan mengetahui ciri-ciri sebenar politik Pakatan yang cakap tidak serupa bikin,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat di dua negeri itu sedang melalui pengalaman di mana setiap janji serta manifesto PR yang masih banyak belum ditunai.

Bukti jelas ialah di Pulau Pinang apabila janji tinggal janji.

“Yang mereka janjikan akan turun, mereka naikkan, yang sepatutnya dihapuskan, mereka kekal dan banyakkan.”

Berlainan dengan BN yang merupakan gabungan parti-parti politik yang tumbuh daripada akar umbi, transformasi polisi dan falsafah politik mengikut kesesuaian masa serta mewakili kepentingan semua bangsa di Malaysia.

Malah, peranan serta suara generasi muda semakin diberi perhatian BN.

Katanya, kekuatan dalam BN adalah atas dasar semangat toleransi, persefahaman dan perpaduan antara parti.

“Benar, dalam BN sekali-sekala kelihatan seperti ada ‘kelainan nada dan pemikiran’ tetapi pada akhirnya BN mampu bersatu dalam kepelbagaian pendapat kerana kepentingan parti dan majoriti diutamakan.

“BN sebagai sebuah parti politik telah banyak berjasa, kukuh dan sentiasa ke arah hala tuju yang berpaksikan kebajikan rakyat,” katanya sambil menambah, BN tidak bersalah.

Jelasnya, apa yang melemahkan BN ialah segelitir pemimpin-pemimpinnya yang mementingkan diri sendiri, angkuh, pembodek, pemalas dan kredibiliti yang semakin diragui.

Majoriti rakyat tidak benci BN dan masih yakin kepada asas perjuangan BN, cuma mereka sudah meluat dengan kerenah beberapa pemimpin yang lupa diri dan tidak bersungguh-sungguh menjaga kepentingan serta kehendak rakyat.

“Dalam kesibukan berpolitik di alaf baharu serta berpropaganda melalui media moden seperti media sosial, kita lupa kepada politik tradisional iaitu budaya turun padang berjumpa rakyat secara santai untuk bertanya khabar dan jangan takut berdepan kritikan.

“Tiada pemimpin yang berani mengaku dirinya sempurna maka kritikan yang membina sentiasa dialu-alukan,” ujarnya.

Jelasnya, mereka yang mencintai kedamaian dan perpaduan harus berani menunjukkan kebencian serta rasa keji terhadap mereka yang sering menghasut, fitnah yang melampau serta nada-nada perkauman.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem katanya, telah membawa satu pendekatan baharu dalam mengurus masalah rakyat.

“Beliau tidak menjanjikan keajaiban seperti PKR, tidak juga dia berani menjanjikan kesempurnaan seperti DAP dan jauh sekali menjanjikan syurga seperti PAS.

“Yang jelas, KM Adenan berani menjanjikan kesungguhan, kerajinan, keprihatinan dan keberanian untuk menyuarakan setiap keluhan serta keresahan rakyat,” katanya.

Keikhlasan Adenan katanya, juga jelas apabila beliau tanpa berselindung menegur mustahaknya integriti dalam kepimpinan serta perkhidmatan kerajaan dalam urusan kepentingan rakyat.

Adenan menurutnya terkenal dengan kata-kata ‘kalau tak pekak, dengar, kalau tak buta, tengok, kalau tak bisu, bersuaralah’.

“Jika itu tidak mencukupi, biarlah  rakyat menilai kesungguhan kepimpinan Adenan.

“Dalam masa setahun selepas mengambil alih jawatan Ketua Menteri, semua orang telah nampak hasil kerja beliau dan mendengar beliau meluahkan perasaan, yang jelas, di jiwa Adenan ada Sarawak dan di hatinya ada rakyat,” katanya.