Rakyat luar bandar diminta terus menyokong BN, Adenan

0

SIBU: Rakyat di luar bandar diminta terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk tempoh lima tahun akan datang, memandangkan kerajaan akan menumpukan sepenuh perhatian  bagi meneruskan pembangunan masyarakat di luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapae’e berkata, Ketua Menteri ketika berucap di Samarahan beberapa hari lepas minta diberi memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun lagi sebelum bersara.

“Beliau seorang yang amat prihatin kepada rakyat di seluruh negeri iaitu kaum Iban, Bidayuh, Cina, Melayu, Melanau dan sebagainya. Kita mesti beri sokongan sepenuhnya dan mengharapkan majoriti bukan sahaja di kawasan DUN Nangka, tetapi di seluruh negeri Sarawak agar majoriti akan meningkat untuk beliau terus memimpin kita lima tahun lagi.

“Diharap semua rakyat di luar bandar memberi sokongan penuh kepada Adenan menjadi Ketua Menteri untuk tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya ketika berucap pada Upacara Ngiling Bidai Peringkat DUN Nangka di Rumah Dick Ijau, Batu 8, Jalan Oya malam kelmarin.

Hadir sama ialah Penghulu Richard Ampi, Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Sibu Leena Tero, Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Julau Moses Sipan, Tuai Rumah Dick Ijau serta semua 31 tuai rumah di kawasan DUN Nangka.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan bila-bila, Dr Annuar berjanji jika dipilih lagi untuk bertanding dan menang, beliau mempunyai banyak lagi yang hendak dilakukan di DUN Nangka terutama di kawasan rumah panjang.

Menyentuh mengenai Jawatankusa Kerja Tuai-Tuai Rumah Kawasan DUN Nangka yang baharu ditubuhkan, beliau memberitahu bahawa jawatankuasa itu amat penting untuk mengutarakan masalah-masalah penduduk yang berbangkit seperti isu tanah, infrastruktur, pendidikan dan ekonomi.

Dr Annuar juga berkata, jawatankuasa itu juga perlu ada ketua Wanita dan ketua Pemuda, selain akan dibahagikan kepada Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan, Ekonomi, Pendidikan dan sebagainya untuk menyelaraskan semua aktiviti di 31 rumah panjang di kawasan DUN Nangka.