Rakyat Sarawak digesa tolak sentimen anti-Semenanjung Malaysia, anti-Melayu

0

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat negeri ini menolak sentimen anti-Semenanjung Malaysia atau anti-Melayu.

Ini kerana menurut Zahid, sentimen berunsur perkauman ini adalah perbuatan individu atau pihak yang cuba memusnahkan perpaduan rakyat di seluruh negara.

“Jangan mendengar mana-mana kenyataan yang mengajak anda untuk anti-Semenanjung Malaysia atau anti-Melayu.

“Kenyataan-kenyataan seperti ini adalah daripada mereka yang berfikiran sempit dan harus ditolak oleh rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Kek Bulan 2015 di Taman Sahabat dekat sini malam kelmarin.

Festival tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Persekutuan Persatuan Cina Kuching dan Samarahan.

Turut hadir Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Terdahulu dalam ucapannya, Zahid menyangkal dakwaan media sosial bahawa beliau merupakan seorang menteri yang bersifat perkauman.

Tegas Zahid, meskipun beliau adalah bangsa Melayu namun beliau adalah rakyat Malaysia, sama seperti kaum-kaum lain yang ada dalam negara ini.

“Terdapat laporan dalam sosial media yang menghasut rakyat khususnya masyarakat Cina supaya tidak hadir ke festival ini kerana kononnya saya adalah menteri yang bersifat perkauman.

“Ingin saya tegaskan, meskipun festival ini adalah untuk masyarakat Cina tetapi ia disokong oleh semua kaum di negeri ini dan Malaysia amnya.

“Sehubungan itu saya menggesa semua rakyat supaya mengetepikan perbezaan politik dan sama-sama memeriahkan sambutan Festival Kek Bulan ini dengan semangat 1Malaysia,” ujarnya.

Pada majlis itu Zahid turut memberi jaminan bahawa kerajaan pusat akan mempertimbangkan permohonan peruntukan daripada MBKS bagi pelaksanaan pelbagai projek.

Namun kata Zahid, peruntukan tersebut adalah bergantung kepada tahap sokongan rakyat kepada kerajaan negeri dan pusat di bawah Barisan Nasional (BN).