Hampir 7,000 peserta sertai Hari Sukan Negara di Padang Merdeka

0
MULA: Mawan (tiga kiri) melepaskan peserta Kayuhan Mesra semasa program Hari Sukan Negara sambil disaksikan Morshidi (empat kiri) dan Abdul Harris (dua kiri) di Padang Merdeka semalam.

MULA: Mawan (tiga kiri) melepaskan peserta Kayuhan Mesra semasa program Hari Sukan Negara sambil disaksikan Morshidi (empat kiri) dan Abdul Harris (dua kiri) di Padang Merdeka semalam.

KUCHING: Hampir 7,000 peserta mengambil bahagian dalam sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2015 Peringkat Negeri Sarawak di Padang Merdeka Kuching semalam.

Program itu dirasmikan Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Gani dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JSB), Abdul Harris Ishak.

Menurut Mawan, beliau gembira melihat sambutan menggalakkan daripada orang awam terhadap program yang diadakan serentak seluruh negara itu.

“Ini jelas menunjukkan rakyat di Sarawak amat mementingkan gaya hidup sihat sejajar dengan seruan kerajaan,” katanya yang sebelum itu menyertai senamrobik bersama peserta dan dif-dif kehormat.

Beliau kemudiannya melepaskan peserta Larian dan Kayuhan Mesra sejauh lima kilometer.

Selain dua acara ikonik tersebut, beberapa aktiviti sampingan turut disediakan sebagai pengisian program selama sehari itu.

Antaranya persembahan seni mempertahankan diri yang dipersembahkan oleh beberapa badan pengamal seni mempertahankan diri termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Fit Malaysia Fest, Mr Gym, Frisbee dan Mari Mencuba Alat Kecergasan.

HSN merupakan acara kemuncak program Fit Malaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun lalu.

Ia bertujuan meraikan dan mengiktiraf penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan selain mempromosi sukan sebagai gaya hidup.

Selain itu, memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan kalangan rakyat pelbagai kaum serta menggalakkan pembangunan ekonomi negara berteraskan industri sukan.