Mangsa pemerdagangan orang dilindungi

0

Sebuah tempat perlindungan khusus akan diwujudkan di S’wak tidak lama lagi: Rohani

// Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Sebuah tempat perlindungan khusus menempatkan mangsa kes pemerdagangan orang dijangka diwujudkan di Sarawak dalam sedikit masa lagi.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim setakat ini mangsa-mangsa yang diselamatkan di negeri ini dihantar ke pusat perlindungan pemerdagangan orang terdekat iaitu di Sabah.

“Di Sarawak belum ada pusat perlindungan ini walaupun kerajaan mempunyai bajet sebab itu buat masa ini kita terpaksa menghantar mangsa-mangsa diselamatkan ke pusat perlindungan ke Sabah dan agak merumitkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Seminar Wanita Anti Jenayah (WAJA) di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS), Margaret Bedus.

Rohani berkata, pihaknya masih mengenal pasti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mengendalikan pusat perlindungan itu apabila kira-kira 20 NGO dikenal pasti sebelum ini enggan memikul tanggungjawab tersebut.

Katanya, ia adalah salah satu pengesyoran daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar NGO mengambil alih peranan itu daripada kerajaan.

“Kita mengenal pasti 20 NGO mengendalikan pusat perlindungan tersebut namun berdasarkan maklum balas diterima, mereka tidak keberatan menganjurkan pelbagai program bagi pusat berkenaan namun tidak sanggup menjadi NGO mengendalikannya,” kata beliau.

Rohani turut mengemukakan cadangan itu kepada SWWS untuk menyahut cabaran itu berdasarkan pengalaman NGO berkenaan berhadapan dengan isu-isu sedemikian selain mempunyai kekuatan kaunselor.

Katanya, kerajaan menyediakan latihan kepada NGO berkenaan dan kemudahan bagi tujuan tersebut serta mengenal pasti lokasi bersesuaian namun tidak akan mendedahkan butiran lanjut atas sebab keselamatan.

“Saya berharap kita dapat menubuhkan pusat perlindungan ini dalam masa terdekat dan SWWS menjadi NGO pertama bersetuju mengendalikannya,” katanya.

Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 digubal bagi melindungi mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang sebahagian besarnya merupakan golongan wanita.

Kementerian itu selaku pengerusi jawatankuasa perlindungan dan pemulihan mangsa di bawah Majlis Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) bertanggungjawab memastikan kebajikan mangsa terjaga sepanjang tempoh berada di  bawah arahan perlindungan mahkamah sebelum dihantar pulang ke tempat asal.

Seminar anjuran SWWS itu berjaya menarik minat 120 peserta untuk bersama-sama membincangkan topik mengenai wanita.

Objektif utama seminar itu meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu berkaitan dengan pelbagai bentuk jenayah terhadap wanita terutamanya aspek penyeludupan manusia, keldai dadah, penipuan Internet dan keganasan seksual.

Rohani turut mengingatkan bahawa usaha membanteras jenayah terhadap wanita merupakan tanggungjawab bersama.

“Saya berharap mangsa-mangsa dapat menemui keberanian untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan-bantuan disediakan,” katanya.