RM1.3 juta diperuntuk laksana projek pembangunan Kpg Perpat

0

KABONG: Sejumlah RM1.3 juta diperuntuk di bawah Program Mobile Team Perpat 2015 untuk melaksanakan projek pembangunan di Kampung Perpat di sini

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Wahab Aziz berkata peruntukan tersebut diagihkan khas memaju dan membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan ini.

“Fokus utama tersenarai dalam peruntukan itu ialah  membina jeti simen baharu seberang Kampung Perpat, menaik taraf jalan Kampung Hilir Perpat, menaik taraf jalan Kampung Hulu Perpat, membina baharu titi belian Rumah Tanjung Perpat, membina baharu jeti belian Kampung Hulu, Hilir dan Tengah Perpat, membina jambatan baharu Kampung Tengah Perpat serta membina jalan baharu Kampung Hulu dan Tengah Perpat.

“Kita yakin dengan peruntukan ini memberi harapan baharu kepada penduduk menikmati kemudahan asas dan infrastruktur lebih selesa dan lengkap.

“Usaha ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) serius menyalurkan pembangunan kepada masyarakat di luar bandar melalui plan transformasi yang menjadi agenda utama kerajaan pada masa kini,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Mobile Team Perpat 2015 di Kampung Perpat, kelmarin.

Mobile Team Perpat 2015 kelolaan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sarawak bertujuan memastikan pembangunan turut dikecapi masyarakat luar bandar.

Antara agensi terlibat ialah Pejabat Daerah Kabong, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertanian, IADA Kalaka Saribas Betong, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Tanah dan Survei.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka itu berkata, pada masa kini kerajaan BN mempunyai pelbagai bentuk plan pembangunan memastikan masyarakat dapat mengecapi nikmat pembangunan sebenarnya.

Tambahnya, segala usaha ini membuktikan bahawa kerajaan sangat serius dan berusaha memenuhi segala impian dan kehendak masyarakat.

“Masyarakat sewajarnya berterima kasih dan menyokong segala dasar digerakkan kerajaan pada masa kini kerana usaha adalah untuk kepentingan dan keperluan bersama.

“Kita berharap masyarakat peringkat akar umbi terus memberi sokongan padu kepada kerajaan dan pemimpin BN pada pilihan raya akan datang demi memastikan kesinambungan segala perancangan dan aktiviti pembangunan dijalankan pada masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Pada majlis itu, Abdul Wahab turut menasihatkan golongan muda agar tidak mengabaikan tanggungjawab mereka kepada orang tua.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab kepada golongan anak-anak menjaga orang tua mereka apabila tiba masanya dan tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Turut disampaikan sijil kepada 17 orang penerima Bantuan Projek Baik pulih Rumah (PBR), ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perpat (16 orang), peserta Projek Tanah Limau (14 orang) dan Program Baik Pulih Tanaman Limau (25 orang).

Hadir sama wakil Pegawai Daerah Saratok Anuar Daan, Pegawai Perangkaan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Norizam Mohamad, Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Lee Thai Lein serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat.