Larian Miri City Half Marathon Mei tahun depan

0

MIRI: Aktiviti Larian Miri City Half Marathon (MCHM) dirancang diadakan pada pertengahan Mei tahun depan sebagai acara menarik sempena sambutan Hari Bandaraya Miri.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai memberitahu aktiviti julung kali itu dirancang diadakan pada 15 Mei tahun depan dengan sasaran penyertaan seramai 10,000 orang peserta.

“Kita menjemput Ketua Menteri merasmikan aktiviti sempena Hari Bandaraya selain Borneo Jazz (festival muzik) pada 13 dan 14 Mei,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama aktiviti itu di sini petang semalam.

Selain MBM, penganjur bersama aktiviti itu ialah Kementerian Pelancongan, Persatuan Maraton Miri, Pejabat Residen Miri, Robust Lifestyle selaku pengendali acara dan Pantai Bayu Indah Sdn Bhd.

Larian itu dibahagikan kepada tiga kategori utama ialah 21km, 10km dan 5km bermula dari Marina Parkcity di sini.

Ia terbuka untuk semua peringkat umur termasuk kalangan veteran lelaki dan wanita berusia 40 tahun ke atas.

Lawrence berkata, maklumat lanjut tentang penyertaan, yuran penyertaan dan hadiah akan dimaklumkan kemudian.