Lulusan SPM dan STPM boleh tingkatkan kelayakan akademik di Symas Academy Malaysia

0

MIRI: Symas Academy Malaysia memperkenalkan konsep pengajaran Pendidikan Secara Cepat (FTE) kepada penduduk Miri khasnya pemegang sijil SPM dan STPM  yang mahu meningkatkan status pengajian dan peluang kerjaya mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif selaku Pengetua Jurulatih Symas, Dr Muhd Syafiq Thomas Abdullah memberitahu, FTE merupakan pembelajaran dewasa yang turut berupaya mentransformasikan pelajar sebagai individu cemerlang.

“Dari kaedah kejurulatihan, kita memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu pelajar termasuk kemahiran pengucapan awam yang sekali gus meningkatkan keyakinan mereka,” jelas beliau semasa sesi `preview’ FTE di Symas Miri semalam.

Bagaimanapun, Syafiq yang juga Pengasas Symas memberitahu,  teknik pengajaran FTE dianggap masih baharu di Sarawak dan belum difahami sepenuhnya oleh penduduk tempatan.

Beliau berkata, pelajar boleh bekerja dan belajar pada waktu yang sama tanpa mengorbankan masa ketika bersama keluarga.

“Lebih penting, mereka boleh mengguna pakai ilmu yang mereka pelajari dalam kerja mereka.  Kaedah ini menjimatkan masa sebab kelas juga hanya dikendalikan pada hujung minggu, “ tambah Syafiq.

Mengulas tentang cawangan Miri, program pengajian yang ditawarkan bermula dari peringkat Diploma selama setahun yang terdiri dari jurusan Pengurusan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Pengurusan Perniagaan, Pengurusan Pemasaran, Perakaunan, Perbankan dan Kewangan Islam.

Turut ditawarkan ialah program Diploma selama enam bulan untuk jurusan Pentadbiran Perniagaan.

Program pengajian boleh dilanjutkan sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda selama dua tahun untuk jurusan Perakaunan dan Kewangan, Pemasaran dan Pengurusan Sumber Manusia.

Sarjana Pentadbiran Perniagaan merupakan pengajian peringkat tertinggi yang melibatkan tempoh pengajian selama setahun lapan bulan.

Symas menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia, FTMS Global, Anglia Ruskin University dan Cyberjaya University College of Medical Sciences untuk jurusan-jurusan pengajian yang ditawarkan.

Pengajian telah mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Penduduk Miri yang ingin mendapat maklumat lanjut tentang Symas, boleh mengunjungi pejabat Miri di alamat Lot 7979, tingkat satu, blok 11, pusat komersil KBLD Permyjaya, Jalan Miri Kuala Baram atau menghubungi talian 085-322672 atau 0126600893 (Adam).