Lee Kim Shin kekalkan kerusi Senadin, tambah majoriti undi

0
MENANG LAGI: Lee Kim Shin dijunjung oleh penyokongnya selepas memenangi kerusi DUN N.75 Senadin buat kali kelima malam kelmarin.

MENANG LAGI: Lee Kim Shin dijunjung oleh penyokongnya selepas memenangi kerusi DUN N.75 Senadin buat kali kelima malam kelmarin.

MIRI: Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.75 Senadin dengan majoriti undi sebanyak 3,538 undi.

Calon BN N.75 Senadin Datuk Lee Kim Shin mempertahankan kerusi itu selepas mendapat 10,683 undi berbanding calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Dr Bob Baru Langub (7,145 undi) dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Philemon John Edan yang hanya mendapat 329 undi.

Jumlah keseluruhan undi bagi DUN N.75 Senadin sebanyak 18,358 sementara undi ditolak pula sebanyak 167 undi.

Keputusan pilihan raya itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.75 Senadin Mohd Junaidi Mohidin di Dewan Suarah Miri pada jam 9.24 malam.

Sebanyak 65.9 peratus pengundi DUN Senadin keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebaik sahaja pusat pembuangan undi dibuka jam 8 pagi sehingga tamat tempoh mengundi pada jam 5 petang semalam.

Pengumuman kemenangan calon BN itu turut dirai dengan sorakan penyokong BN yang berada di dalam Dewan Suarah Miri.

Pilihan raya kali ini turut menyaksikan Lee menang dengan penambahan majoriti besar iaitu 3,480 undi berbanding 58 undi yang diperolehinya pada pilihan raya lalu.

Tahun ini jumlah pengundi bagi kerusi DUN berkenaan meningkat kepada 27,874 orang berbanding 24,530 orang pada pilihan raya lalu.

Pada pilihan raya lalu, Lee mengekalkan kerusi Senadin dengan kemenangan tipis 58 undi sahaja, selepas mengalahkan calon yang juga Ketua PKR Miri Dr Michael Teo dalam suasana tegang ketika itu.

Lee yang memperoleh 7,334 undi menewaskan pencabarnya Dr Teo yang memperoleh 7,276 undi dalam persaingan paling sengit ketika itu, sekali gus menjadikan kerusi Senadin antara kerusi panas di utara Sarawak.

Kemenangan Lee pada pilihan raya kali ini adalah kemenangan kali kelima dan beliau berterima kasih dengan pengundi kerana memberi kepercayaan sekali lagi kepada beliau.