Pengerusi SPR puji azam, semangat pengundi veteran

0

Mereka keluar awal untuk mengundi, ada antaranya menggunakan kerusi roda, kata Hashim

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

TINJAU: Hashim ketika meninjau proses mengundi di SK Rakyat Jalan Haji Bolhassan di Kuching, semalam.

TINJAU: Hashim ketika meninjau proses mengundi di SK Rakyat Jalan Haji Bolhassan di Kuching, semalam.

KUCHING: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah memuji golongan veteran yang keluar mengundi awal selain menyifatkannya sebagai semangat tinggi terhadap tanggungjawab selaku pemilih.

Katanya bilangan individu yang keluar mengundi pada waktu pagi dilihat begitu ramai dan menggalakkan.

Beliau turut kagum dengan golongan veteran di pusat pengundian walaupun berkerusi roda namun tetap bersemangat turun mengundi.

“Melihat kepada perkembangan saluran satu iaitu warga emas, nampaknya begitu membanggakan.

“Ada yang datang mengundi awal, malah ada yang menggunakan kerusi roda sambil ditemani anak-anak untuk menunaikan tanggungjawab mereka pagi ini,” katanya.

Hashim berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Mengundi Sekolah Rakyat Jalan Haji Bolhassan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok di sini, semalam.

Turut mengiringi beliau, Pengarah SPR Sarawak Datu Takun Suggah.

Katanya ternyata semangat mengundi yang ditunjukkan golongan senior itu begitu tinggi.

Menurutnya, di pusat pengundian tersebut mempunyai 2,484 pengundi berdaftar yang terdiri daripada lima saluran.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa faktor cuaca yang baik juga menyumbang kepada jumlah pengundi ramai keluar mengundi pada sebelah pagi.

“Harap cuaca terus baik agar ramai-ramai keluar mengundi dan mendaulatkan demokrasi di negara kita ini,” ujar beliau.

Kawasan DUN Satok mempunyai 13,550 pengundi berdaftar yang menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Salleh Shawkatali.