Isu kesihatan mental tidak boleh diabaikan, kata Lee

0

SIBU: Semua pertubuhan perlu mengambil kira tekanan (stress) berkaitan kerja dan risiko psikososial sebagai sebahagian strategi kesihatan dan keselamatan mengurangkan kemalangan dan kecederaan di tempat kerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata pengurusan tekanan dan risiko psikososial di tempat kerja dengan baik mewujudkan persekitaran kerja sihat dan pekerja berasa dihargai serta budaya tempat kerja lebih positif dan akibatnya produktiviti dan prestasi perniagaan bertambah baik.

Katanya walaupun banyak faktor menyumbang kepada kesihatan mental dan kesejahteraan pekerja terdapat bukti mengatakan persekitaran tempat kerja memberi sumbangan penting.

“Dalam persekitaran psikososial yang baik, kerja boleh menjadi bermanfaat untuk kesihatan mental pekerja, memberi sumbangan sosial besar, identiti dan status, peluang untuk pembangunan dan peningkatan kepercayaan diri.

“Sebaliknya, persekitaran kerja psikososial yang buruk boleh memberi kesan negatif besar ke atas kesihatan pekerja.

“Terdapat lima kategori bahaya kesihatan di tempat kerja iaitu fizikal, kimia, biologi, ergonomik dan psikososial,” katanya dalam satu kenyataan akhbar melalui e-mel di sini.

Lee berkata, sesetengah pekerja menghabiskan satu pertiga daripada kehidupan mereka di pejabat, isu tempat kerja adalah salah satu penyumbang utama kemurungan tetapi sering diabaikan terutama oleh majikan.

Pekerja tidak boleh mengenali gejala-gejala terutama jika mereka mengalami satu bentuk kemurungan sederhana seperti ‘burnout’ dan ‘dysthymia’.

“Impak masalah kesihatan mental pekerja, keluarga mereka dan masyarakat secara keseluruhannya adalah besar dan perlu diberi perhatian.

“Adalah penting memastikan kebahagiaan dan kesejahteraan pekerja dan keluarga mereka melalui inisiatif menggalakkan penjagaan kesihatan mental yang baik di tempat kerja.

“Isu-isu kesihatan mental di tempat kerja perlu diberi perhatian kerana produktiviti kakitangan mana-mana organisasi bergantung kepada kesihatan mental mereka,” jelasnya.

Beliau mengingatkan pengabaian kesihatan mental dan faktor-faktor psikososial di tempat kerja bukan sahaja merugikan pekerja secara individu tetapi secara langsung memberi kesan kepada produktiviti dan kecekapan mana-mana organisasi.

Oleh itu, beliau merasakan bahawa kesihatan mental tidak boleh lagi diabaikan.

Sebaliknya, ia perlu diberi perhatian mencukupi dalam mana-mana organisasi kerana kesihatan mental kalangan pekerja tidak boleh diabaikan apabila membincangkan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja.