Penduduk selamat lelaki sawan terjatuh sungai

0

KUCHING: Seorang lelaki berjaya diselamat selepas dikatakan terjatuh ke dalam sungai selepas dikatakan diserang penyakit sawan di Kampung Boyan, di sini kelmarin.

Menurut sumber, mangsa terdahulunya dilihat bersendirian di tempat kejadian sebelum tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai iaitu sekitar jam 8 malam.

“Mujur kejadian tersebut disedari beberapa penduduk kampung kemudian segera menyelamat mangsa yang sudah tidak sedarkan diri dan terus memaklumkan kepada keluarganya.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HUS.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di sebuah pasar raya di Batu 4 Jalan Penrisen di sini semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 50-an itu terdahulunya dilihat bersama anggota pengawal keselamatan di pasar raya tersebut sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Melihat kejadian tersebut, anggota keselamatan cuba memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata sumber.

Mayat mangsa telah dihantar ke HUS untuk bedah siasat.