Penganjur ‘Old Court House Skate Jam 2016’ hargai sokongan barisan penaja

0
SOKONGAN PADU: (Dari tiga kiri) Zulkarnien dan Farouk merakamkan kenangan bersama semasa majlis penyerahan tajaan semalam.

SOKONGAN PADU: (Dari tiga kiri) Zulkarnien dan Farouk merakamkan kenangan bersama semasa majlis penyerahan tajaan semalam.

KUCHING: Penganjur Pertandingan Papan Selaju ‘Old Court House Skate Jam 2016’, Zulkarnien Poasa merakamkan penghargaan terhadap barisan penaja yang telah memberikan sokongan terhadap acara yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini (31 Disember) di pekarangan mahkamah lama.

Paling bermakna, katanya, aktiviti penutup tirai 2016 itu turut mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan Presiden Kelab Papan Selaju Dewan Suarah (CISKA), Farouk Paul Mahmud.

“School Of Skateboarding ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat, Fazzrudin Abdul Rahman yang tidak jemu memberikan sokongan padu untuk menjayakan aktiviti belia seperti ini.

“Penghargaan tidak terhingga juga saya tujukan kepada Presiden CISKA, Farouk Paul Mahmud kerana turut serta memberi sokongan yang positif kepada kami,” katanya pada majlis penyampaian tajaan di sini semalam.

Zulkarnien turut merakamkan penghargaan terhadap syarikat-syarikat dan individu persendirian seperti SJN Forwarding, Baric Services, Philiosophy, VapeRepublik, Homer Skateshop dan Ory Skateboard kerana sudi menaja program berkenaan.

Ujarnya, sokongan positif dari semua pihak akan menyemarakkan lagi penganjuran pertandingan tersebut selain pada masa yang sama membantu merealisasikan impian School Of skateboarding untuk memartabatkan sukan papan selaju ke satu tahap yang lebih tinggi di negeri ini.

Old Court House Skate Jam 2016 akan mempertandingkan tiga kategori iaitu ‘Best Trick Stairs’, ‘Best Trick Rail’ dan ‘Best Trick Fire Hydrant On Launcher’.

Ia bermula pada jam 11 pagi dengan yuran penyertaan berjumlah RM5 bagi setiap peserta.

Selain itu, penganjur turut mengadakan malam anugerah yang akan diadakan selepas pertandingan berakhir bertempat di kantin dewan Old Court House.

Ia bagi mengiktiraf penggiat sukan papan selaju di negeri ini khususnya di Kuching.

Tiga anugerah akan diberikan kepada pemenang Video Terbaik Skateboard 2016 (untuk Kuching, Sarawak), ‘Rookie Of The Year’ (peluncur baru yang berbakat tahunan) dan ‘Skater Of The Year’ (peluncur yang berbakat besar 2016).

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Zulkarnien di talian 0128571259, Danny Zulfikar (01112285607) atau dengan melayari laman facebook ‘School Of Skateboarding Kch’.