Lotus Racing capai matlamat

0

Fernandes puas hati pasukannya terbaik antara empat pasukan baru F1 2010

KUALA LUMPUR: Pasukan Formula Satu (F1) negara, Lotus Racing, berpuas hati dengan pencapaian setakat ini selepas empat perlumbaan pada siri Kejohanan F1 Dunia musim ini.

FERNANDES

FERNANDES

Walaupun gagal menyerlah, peneraju pasukan Datuk Seri Tony Fernandes berkata pasukan itu telah mencapai matlamat termasuk menjadi pasukan terbaik antara empat pasukan baru F1 musim ini serta sekurang-kurangnya sebuah kereta Lotus menamatkan setiap perlumbaan.

“Sebagai sebuah pasukan baru berusia tujuh bulan, saya fikir pencapaian kami adalah baik setakat ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

“Dalam empat perlumbaan setakat ini, sekurang-kurangnya sebuah kereta kami berjaya menamatkan perlumbaan… pada hakikatnya dua kereta kami tamat perlumbaan pada pusingan pembukaan pada Grand Prix Bahrain,” katanya.

Fernandes berkata pasukan itu dalam proses menaik taraf sistem bagi meningkatkan prestasi kereta perlumbaan khususnya sistem hidraulik dan kotak gear sebelum perlumbaan seterusnya di Barcelona, Sepanyol, bulan depan.

Katanya Lotus Racing juga sedang bercadang membangunkan pusat pembangunan teknologi dan penyelidikan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pusat berkenaan antara lain dilengkapi dengan terowong angin F1 bertaraf dunia dan dijangka menjadi pusat sukan permotoran utama di rantau ini, katanya.

“Pusat ini akan menawarkan peluang kepada bakat-bakat muda dari Malaysia dan sekitar rantau ini yang mempunyai impian bekerja dalam industri F1. Ia juga selaras dengan komitmen jangka panjang kami bagi F1 dan Malaysia,” katanya.

Katanya, sebuah muzium F1 juga dicadang dibina bersebelahan dengan pusat itu nanti. — Bernama