Pemuda PBB serah kepada Taib berhubung calon PRU

0

KUCHING: Sayap Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak menghantar sebarang senarai barisan pergerakan itu sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sebaliknya menyerahkan kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB merangkap Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof berkata ia sudah menjadi mekanisme dalam PBB untuk menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti iaitu Presiden PBB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Tidak (menyerahkan senarai nama calon Pemuda) kerana sudah menjadi budaya PBB kita serahkan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri yang juga presiden parti dan beliau tahu menilai.

“Memang sudah menjadi harapan kita ada di kalangan Pemuda disenaraikan tetapi sebagaimana yang saya katakan, dalam kes Parlimen ini Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri lebih mengetahui,” katanya ketika ditemui pemberita di sini Selasa lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan Setiausaha Agung PBB Gerald Rentap Jabu supaya ada calon di kalangan barisan Pemuda pada PRU13 akan datang.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata pucuk kepimpinan tertinggi lebih arif siapa yang boleh diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat tidak mengira daripada barisan Pemuda, Wanita mahupun Bapa.

“Memang harapan kita ada wakil daripada pemuda tetapi ia bukan asas perjuangan kita kerana asas kita adalah memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

“Berlainan dengan pihak yang sebelah lagi, mereka berjuang untuk membawa ketidakstabilan, ketidakharmonian, membawa kepada untuk melawan undang-undang dan mengajak anak-anak kecil tidak hormat kepada sistem perundangan negara,” tegasnya.

Sebaliknya kata beliau, BN pula membawa orang kepada kesepaduan, berjuang untuk meningkatkan taraf hidup dan politik yang stabil dan keadaan negara yang aman.

“Supaya akhirnya kita akan dapat menikmati kesejahteraan, kedamaian dan kemakmuran secara bersama,” tambah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu.