Penjaga pusat hiburan didenda kerana operasi lebihi had masa

0

MIRI: Seorang penjaga pusat hiburan didenda RM500 atau seminggu penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini pagi semalam kerana kesalahan menjalankan perniagaan melebihi had masa yang ditetapkan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah Raynor Kenn, 21, dari Bandar Baru Permyjaya di sini mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 24 Ordinan Hiburan 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai penjara pusat hiburan terbabit didapati menjalankan perniagaan melebihi masa yang ditetapkan dalam lesen hiburan awam yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) ke atas premis tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.50 pagi, 9 Jun lalu di sebuah pusat hiburan terletak di Jalan Picasso, Lutong di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.