TLDM tangkis dakwaan pengganas Sulu masuk ke perairan Sabah

0

KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menangkis dakwaan bahawa berlakunya insiden kumpulan pengganas Sulu yang menyelinap masuk melalui perairan negeri Sabah seperti dilaporkan media asing baru-baru ini.

Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar berkata beliau melihat ianya hanya sekadar propaganda dan khabar angin semata-mata memandangkan tiada sebarang laporan diterima pihaknya berkenaan perkara itu.

“Sebenarnya, perkara-perkara sedemikian telah lama kita dengari daripada media-media asing terutamanya dari negara jiran namun menerusi maklumat yang dimiliki, tiada sebarang aktiviti membabitkan kemasukan itu.

“Saya berpendapat sekiranya ada, ianya mungkin mereka yang telah menetap di negeri ini dan bukan datang daripada seberang sana (negara jiran) sepertimana dikhabarkan, kalau ianya berlaku kita sudah tentu lebih awal tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan sebuah media daripada Filipina pada Ahad lepas yang mendakwa lebih ramai lagi anggota pengganas Sulu bakal memasuki Sabah menerusi perairan untuk menyertai kira-kira 1,000 lain yang kononnya berada di negeri ini.

Sambil menyifatkan ia sebagai salah satu strategi perang saraf daripada pihak berkenaan untuk mewujudkan kekeliruan, Rosland berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan di samping pengukuhan pertahanan daripada pelbagai pihak termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

“Khabar-khabar angin seperti itu kita sifatkan sebagai strategi perang saraf mereka untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Kita menasihatkan kepada rakyat Sabah agar usah gusar dengan desas-desus itu kerana pihak TLDM sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan berupaya mempertahankan kedaulatan perairan negara ini,” katanya.

Sementara itu, Rosland tampil menjelaskan aset kapal selam yang ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), Teluk Sepanggar iaitu KD Tun Razak tidak terlibat dengan Ops Daulat memandangkan ianya hanya untuk kegunaan perisikan sahaja.

“Sepertimana ramai yang musykil akan kegunaan kapal selam ini, ingin dinyatakan bahawa ia tidak terlibat langsung dengan operasi Ops Daulat terdahulu berikutan beberapa faktor termasuklah ianya harus di permukaan laut dalam serta kegunaan perisikan,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya dijangka menerima penambahan aset bagi meningkatkan kekuatan dan perkhidmatan TLDM di negeri ini bersama jabatan pertahanan yang lain.

“Kesan daripada Ops Daulat yang lepas, kita dijangka menerima penambahan aset seperti bot-bot laju serta penempatan radar di kawasan-kawasan Pantai Timur bagi meningkatkan operasi serta kekuatan perairan negara,” katanya.