Hentikan segera politik kebencian

0

ZIARAH: Kelihatan Mohammad Razi (kiri) sedang berbual bersama Sarimah tentang kesihatannya di Hospital Umum Sarawak, semalam.

Rakyat perlu sedar keamanan negara amat penting dikekalkan: Razi

KUCHING: Politik kebencian yang dibawa oleh pihak tidak bertanggungjawab perlu dihentikan segera demi keharmonian negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, politik seperti itu seharusnya tidak berlaku kerana ia mampu menggugat keamanan dan kestabilan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, keamanan dan kestabilan yang dikecapi hari ini bukan dicapai dalam masa sehari, sebaliknya dihasilkan melalui keringat dan pertumpahan darah pejuang serta pemimpin terdahulu.

“Bayangkan betapa sukar-nya pejuang dan pemimpin dahulu untuk memperolehi kemerdekaan seterusnya mengekalkan perpaduan pelbagai kaum seperti yang dapat kita rasa hari ini.

“Namun, masih terdapat pihak yang sewenang-wenangnya cuba memecah-belah dan ingin melihat semua yang dicapai oleh negara hari ini hancur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai klip video ‘One-derful Malaysia’ membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok semasa melawat bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting Wanita Kampung Bungin, Saribas di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

Razi yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB menjelaskan, video berdurasi 11 minit 39 saat itu jelas berbaur hasutan, mempersenda dan cuba memporak-perandakan perpaduan kaum Melayu dan Cina di negara ini.

“Walaupun berbeza pandangan politik, jangan se-sekali menggunakan politik untuk tujuan menyebarkan kebencian.

“Ingatlah bahawa sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, kita perlulah sama-sama mengekalkan perpaduan dan jangan sesekali menyalahgunakan kuasa yang diberi itu untuk memburukkan lagi keadaan,” tegasnya.

Terdahulu, Razi melawat seorang bekas AJK Ran-ting Wanita PBB Kampung Bungin, Sarimah Angi, 52, yang menghidapi penyakit buah pinggang yang baharu dikenal pasti sebulan lalu.

Selain itu, beliau turut melawat beberapa pesakit yang berasal dari kawasan DUN Saribas.