Lelaki cedera dibelasah, dicucuk mata

1

KUCHING: Tindakan seorang lelaki menyelamatkan diri ke pondok polis di Tebingan Kuching di sini tidak membuahkan hasil apabila dia masih dibelasah dan matanya dicucuk sekumpulan lelaki kelmarin.

Ini berikutan, hanya seorang sahaja anggota polis yang bertugas di pondok berkenaan menyebabkan dia gagal untuk mengawal keadaan dan mangsa pula terus dibelasah dalam insiden yang berlaku sekitar jam 11 malam.

Difahamkan, kejadian yang dipercayai berpunca daripada salah faham itu menyebabkan mangsa terpaksa melarikan diri ke arah pondok polis pelancong yang terdapat di situ.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi tidak terkawal apabila lebih 10 lelaki menyerbu pondok polis berkenaan dan terus membelasah selain turut mencucuk mata kanan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan,” kata sumber.

Kumpulan lelaki terbabit kemudian beredar sebaik sahaja kehadiran beberapa anggota polis lain di tempat kejadian.

Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, dua lelaki juga dikejarkan ke HUS akibat kecederaan yang dialami oleh mereka selepas dibelasah sekumpulan lelaki juga di Tebingan Kuching lewat malam kelmarin.

Menurut sumber, kedua-dua mangsa yang berusia 30-an itu dikatakan melepak di kawasan berkenaan apabila didatangi sekumpulan lelaki yang terus membelasah mereka.

“Mujur mereka dapat menyelamatkan diri dan terus menghubungi pihak ambulans untuk mendapatkan bantuan rawatan,” kata sumber.

Laporan polis berhubung kedua-dua kes tersebut telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.